Masjid Lama Kampung Pelangai (1910) – Masjid Bersejarah di Kuala Pilah

Setiap masjid lama menyimpan kisahnya yang tersendiri — bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga saksi kepada sejarah, budaya, dan perjalanan masyarakat Islam di sekitarnya. Dalam siri Jelajah MalayaTube, kami menjejak masjid-masjid bersejarah di seluruh tanah air untuk merungkai cerita yang mungkin hampir dilupakan.

Kali ini, langkah kami membawa ke Masjid Lama Pelangai di Kuala Pilah, Negeri Sembilan iaitu sebuah masjid yang dibina pada 1910 dan sehingga kini masih berdiri sebagai bukti keutuhan warisan umat Islam.


Masjid Lama Pelangai 1910 Kuala Pilah Negeri Sembilan


Asal-usul nama Pelangai itu sendiri mempunyai sejarah cerita yang menarik. Ia mempunyai dua versi cerita asal usul bagaimana ia mendapat nama Pelangai. 

Versi Pertama :

Pada zaman dahulu iaitu ketika pemerintahan YamTuan AlMarhum Tuanku Muhammad Shah Ibni Almarhum Tuanku Antah( 1888-1933) , baginda serta Tuanku Permaisuri pernah menjelajah ke kawasan kampung ini dengan menaiki kereta kuda dari Seri Menanti hingga ke kampung ini. 

Kereta kuda tradisional seperti yang digunakan oleh YamTuan Muhammad Shah ke Kampung Pelangai


Baginda Al Marhum adalah seorang Raja yang sangat berjiwa rakyat dan baik hati. Baginda sangat suka menziarah rakyat jelata dan salah satu tempat yang sering dikunjungi oleh Baginda ketika itu adalah tempat keramaian(tempat berniaga penduduk desa) yang terletak di kawasan lapang yang berhadapan dengan Sek. Keb Pelangai yang dibina pada tahun 1907. 

Suatu hari, selendang kepunyaan Tuanku Permaisuri jatuh ke tanah dan selendang yang jatuh itu diambil oleh hamba rakyat dan diserah kembali kepada Almarhum Tuanku. Tuanku bertitah bahawa kain selendang itu namanya adalah Pelangai. Sejak itu, nama tempat itu disebut sebagai Pelangai dan kekal hingga ke hari ini. 

Versi Kedua: 

Ada juga kisah yang mengatakan kawasan ini pada zaman dahulunya dikatakan sering muncul pelangi, lalu masyarakat menamakan tempat ini sebagai Pelangai. Pelangi-Pelangai...mungkin sebutan orang Nogori dahulu kala berbeza dan Pelangai kekal hingga ke hari ini. wallahua'lam. 

Kebanyakan tempat atau perkampungan pada zaman dahulu diberi nama berpandukan kepada peristiwa penting dan bersejarah yang berlaku di tempat tersebut. Pasti nama-nama sesebuah tempat itu mempunyai kisah-kisah yang menarik samaada suka, duka atau menyayat hati. 

Berbalik kepada cerita masjid tadi, masjid ini dibangun pada tahun 1910 dan menjadi salah satu masjid tertua di daerah ini. Masjid ini didirikan hasil usaha gotong royong penduduk setempat bersama  seorang imam. 

Lebai Maadah Bin Layang merangkap imam besar masjid adalah seorang ulama yang terkenal di zaman itu. Beliau merupakan ulama tersohor yang juga mengajar kerabat diraja di Istana . Lebai Maadah juga merupakan tokoh pertama yang menubuhkan sekolah agama atau madrasah berasrama secara formal dan sistematik. Mata pelajaran yang diajar oleh madrasahnya merangkumi semua lapangan pengajian agama seperti 
  • Usulludin
  • Tasawuf
  • Bahasa Arab
  • Bahasa Inggeris
  • serta pidato sejarah tanahair dan dunia sebagai subjek tambahan. 
Madrasahnya yang kekal hingga hari ini yang terletak di sebelah Masjid Kariah Pelangai merupakan madrasah untuk semua anak-anak Melayu tidak kira lelaki atau perempuan. Dikatakan Shamsiah Fakeh, yang dikenali sebagai ' Ratu Rimba Malaya' iaitu pejuang merdeka Tanah Melayu (1924-2008) juga menuntut ilmu di madrasah ini. 

Perkembangan & Cabaran

Pembukaan masjid ini bersamaan pembukaan  keretapi Kuala Pilah-Bahau pada 4 April 1910. Ini menunjukkan Kampung Pelangai ini adalah sebuah tempat yang penting yang wujud seiring dengan arus pembangunan.  

Masjid Lama Kampung Pelangai menampilkan seni bina tradisional yang sederhana namun penuh nilai sejarah. Atapnya berbentuk segitiga, dindingnya diperbuat daripada kayu, dan ruang solat utamanya cukup untuk menampung jemaah kampung suatu ketika dahulu. Sebuah mimbar kayu masih berdiri sebagai saksi khutbah lama, manakala di bahagian hadapan masjid terbentang kawasan perkuburan tua — tempat persemadian penduduk kampung yang pernah mengimarahkan rumah Allah ini.

Masjid Lama Pelangai Kuala Pilah 1910


Seiring berlalunya masa, setiap masjid lama memerlukan penjagaan rapi agar terus kekal berdiri. Sayangnya, tanpa usaha pemuliharaan yang konsisten, keadaan Masjid Lama Kampung Pelangai semakin uzur dan menunggu masa untuk rebah. Walaupun sebuah masjid baharu telah dibina di lokasi lebih strategik, penduduk kampung tetap mengekalkan masjid lama ini sebagai lambang sejarah, warisan, dan kenangan generasi terdahulu.

Masjid Kariah Pelangai Kuala Pilah, Negeri Sembilan


Namun disebabkan kekurangan tenaga mahir dan kos baik pulih yang tinggi, Masjid Lama Kampung Pelangai kini semakin uzur dan sepi menunggu masa untuk rebah.

Semoga suatu hari nanti akan ada pihak yang tampil untuk memulihkan masjid bersejarah ini agar warisan bangsa dan agama tidak hilang ditelan zaman.

MalayaTube turut berusaha, setakat yang termampu, untuk menyokong dan mengetengahkan kisah masjid lama agar ia tidak hilang ditelan zaman. Setiap kisah yang dikongsi di sini adalah sebahagian daripada usaha kecil untuk menyelamatkan khazanah berharga umat Islam.Inshaa Allah, aamiin.

Keadaan dalam Masjid Lama Kampung Pelangai 1910 yang semakin uzur dengan lantai kayu reput dan atap bocor”

“Struktur kayu lama Masjid Kampung Pelangai di Kuala Pilah dengan dinding usang dan lantai rosak”

“Dinding kayu Masjid Lama Kampung Pelangai ditumbuhi pokok dan daun menjalar menandakan bangunan lama semakin uzur”

“Tangga batu lama Masjid Kampung Pelangai yang ditutupi tumbuhan liar menandakan masjid lama ini semakin ditinggalkan”

“Tangga batu utama Masjid Lama Kampung Pelangai 1910 di Kuala Pilah menuju ruang dalam masjid bersejarah”

“Bahagian luar Masjid Lama Kampung Pelangai dengan bumbung kayu lama ditutupi semak dan tumbuhan liar”

“Tingkap kayu lama Masjid Kampung Pelangai dengan tumbuhan menjalar di bahagian luar bangunan bersejarah ini”










Ulasan